Uncategorized

Merdeka bukan sekadar bebas dijajah

PUTRAJAYA – Kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah, sebaliknya kemampuan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan memiliki semangat cinta negara.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, melalui konsep Malaysia Madani, ia kunci utama bagi menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Beliau berkata, penghayatan erti kemerdekaan dalam jiwa generasi muda kini didapati kian berkurangan atas pelbagai faktor seperti kemajuan teknologi dan digitalisasi sehingga mengakibatkan anak muda lupa dengan sejarah, ketamadunan dan perjuangan negara berdaulat ini.

Justeru itu, katanya, tidak patut untuk generasi kini hanya menganggap hari kemerdekaan merupakan hari cuti am untuk beriadah atau membeli belah.

“Sejajar dengan tema Jiwa Merdeka, saya berharap generasi muda menjadikan sambutan tahun ini sebagai platform pengukuhan jati diri dan kenegaraan.

“Tidak hanya berbekalkan semangat patriotik, generasi muda harus memahami, menghargai dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan. Ini menjadi tanggungjawab sebagai seorang anak watan yang berpatriotik,” ujar Aaron dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, Malaysia belum mencecah satu abad kemerdekaan, apatah lagi mencapai usia satu alaf.

Namun begitu, ujarnya, saban tahun, nilai meraikan kemerdekaan semakin sepi dan sayu, terutama dalam jiwa generasi muda.

“Justeru, generasi muda perlu lekas sedar dan hayati akan erti kemerdekaan, menikmati nilai kemerdekaan dan menjiwai pengorbanan pejuang-pejuang tanah air.

“Di sinilah tanah tumpahnya darah kita dan di sinilah langit yang kita junjung serta bumi yang kaki kita berpijak. Jelmakanlah sedikit semangat patriotik dan kenegaraan demi negara kita Malaysia,” ujarnya.

Aaron berkata, tidak salah untuk rakyat Malaysia mengeluarkan sedikit wang untuk memasang Jalur Gemilang di halaman rumah, tempat kerja dan kenderaan.

“Jika dahulu kita boleh lakukan maka kini juga kita mampu kembalikan aura Bulan the Kemerdekaan.

“Ayuh sama-sama kita mulakan unutk kibarkan bendera Jalur Gemilang! Jom kita ceriakan tempat sekeliling dengan Jalur Gemilang. Ini Masanya!,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button