
Elon Musk berkempen untuk Trump di Pennsylvania
WASHINGTON – Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk akan meneruskan sokongannya terhadap calon presiden republikan, Donald Trump, di Pennsylvania, menurut sumber yang enggan dikenali.
Sumber tersebut menyatakan sokongan Musk semakin ketara selepas kehadirannya bersama bekas presiden itu pada satu acara kempen di Butler, Pennsylvania, baru-baru ini.
Dalam perhimpunan kempen yang diadakan pada Sabtu lalu, Musk dilihat melangkah ke pentas bersama Trump sambil melambai tangan dan menunjukkan sokongan terbuka kepada calon Republikan itu.
Ini merupakan kemunculan pertama Musk di acara kempen Trump sejak beliau menyatakan sokongan terbuka kepada Trump selepas cubaan bunuh terhadap bekas presiden itu pada 13 Julai lalu, di lokasi yang sama.
Menurut sumber, kehadiran Musk dalam kempen Trump kali ini mungkin berkait dengan penglibatan beliau melalui jawatankuasa tindakan politiknya, America PAC.
Bagaimanapun, pihak kempen Trump tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi ketika diminta mengulas mengenai peranan Musk dalam acara tersebut.
Pennsylvania dianggap sebagai medan penting bagi kedua-dua calon dalam pilihan raya presiden akan datang.
Trump dan calon Demokrat, Naib Presiden Kamala Harris dijangka akan terus memfokuskan kempen mereka di negeri tersebut menjelang pilihan raya pada 5 November ini.
Trump dilaporkan akan hadir ke perhimpunan kempen seterusnya di Scranton dan Reading pada hari Rabu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |