Berita Semasa

ATM pertimbang keperluan drone berteknologi tinggi, helikopter tempur

GEMAS – Kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan lebih banyak aset ketenteraan negara termasuk penambahan drone berkapasiti tinggi dan helikopter tempur yang lebih canggih.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, keupayaan drone yang boleh terbang lebih lama dan jauh akan memberikan kelebihan strategik kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama dalam aspek pengawasan dan operasi jarak jauh.

Manakala penambahan aset helikopter tempur yang lebih canggih juga diperlukan untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanan udara selain penggunaan jet pejuang.

Beliau menyatakan perkara tersebut selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tindakan Tahun 2024 (LKT 2024) yang berlangsung di Lapang Sasar Gemas, Negeri Sembilan, hari ini.

“Tahun ini, latihan memberi tumpuan kepada penggunaan drone untuk pengintipan dan serangan, meningkatkan keberkesanan tembakan tidak langsung dengan bantuan aset udara, serta integrasi operasi darat dengan sokongan udara,” katanya kepada pemberita hari ini.

LKT 2024 dianjurkan di bawah Ketumbukan Gabungan Penggempur 3 Divisyen (3 Div) Tentera Darat Malaysia (TDM) yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Mohamad Khaled berkata, LKT 2024 melibatkan dua fasa yang bermula pada 4 hingga 12 Ogos 2024 itu adalah sebahagian daripada aktiviti tahunan TDM.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) siri 53/2024 dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) mengenai keupayaan aset ketenteraan negara.

“Latihan Kuasa Tindakan ini adalah untuk menilai dan meningkatkan keupayaan tempur TDM, serta berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan strategi dan teknologi baru dalam operasi ketenteraan dan peningkatan berterusan keupayaan TDM.

“Latihan ini juga menguji keupayaan komunikasi dan koordinasi antara unit berlainan dalam situasi pertempuran yang kompleks,” katanya.

Seramai 180 orang Pegawai Tentera, termasuk 36 pegawai dari luar negara, dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terlibat dalam kursus ini.

Katanya, objektif LKT 2024 juga bertujuan untuk mempamerkan keupayaan sistem persenjataan ATM, termasuk TDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dalam aspek manuver, kuasa tembakan dan impak ke atas sasaran.

Sebahagian unit yang terlibat dalam LKT 2024 adalah dari pasukan di bawah naungan 3 Div dan dibantu oleh pasukan-pasukan dari Trup Tentera Darat (Tp TD), Trup Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (Tp PMBTD), dan TUDM.

Antara aset yang terlibat dalam segmen Dinamik adalah GEMPITA AMC 120mm, GEMPITA AHRV 7.62mm, LIPAN BARA 7.62mm, PENDEKAR AEV, dan ACV 300 ADNAN IFV 40mm.

Sementara itu, aset dalam segmen Tembakan Tidak Langsung termasuk 105mm LG, 155mm G5, 105mm PH, ACV 300 ADNAN IFV 120mm (Mortar), OERLIKON 35mm, ASTROS II Multiple Launch Rocket System (MLRS), helikopter AGUSTA dan MD 530G, serta pesawat HAWK dan F/A 18 HORNET.

Dalam paa itu, Mohamad Khaled menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan LKT 2024 dan menegaskan bahawa TDM akan terus komited untuk melakukan penambahbaikan berdasarkan penilaian dan maklum balas daripada latihan tahun ini untuk masa akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button