Kes Zulfarhan: SUHAKAM bantah keputusan hukuman gantung
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) membantah keputusan Mahkamah Rayuan menjatihkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Menurut SUHAKAM dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya memahami kesedihan keluarga mangsa dan tahap serius jenayah dilakukan, namun berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian yang adil atau berkesan.
“SUHAKAM mengucapkan takziah kepada keluarga Zulfarhan dan maklum akan keputusan Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.
“Namun gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman.
“Ia juga bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Selasa lalu, hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan terhadap enam bekas penuntut UPNM itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Ia diputuskan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.
Suhakam berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu menandakan detik menyedihkan dan penting dalam sejarah kehakiman Malaysia.
“Dalam konteks ini, penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.
“Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas terbabit tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah.
“Komitmen kami terhadap hak asasi manusia memberi mandat buat kami menyokong pemansuhan hukuman mati,” katanya lagi.