PM X

Inflasi tahun ini diunjur antara 2 hingga 3.5 peratus – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi bagi tahun ini diunjurkan antara dua hingga 3.5 peratus dengan pelaksanaan penyasaran rasionalisasi subsidi bahan api diesel, demikian jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, julat unjuran yang besar itu mengambil kira beberapa kemungkinan kenaikan kadar inflasi yang boleh timbul antaranya seperti pelaksanaan penyasaran rasionalisasi subsidi bahan api ini.

Beliau berkata, kerajaan berpandangan sekarang adalah tempoh yang sesuai bagi pelaksanaan subsidi bersasar selepas mengambil kira angka inflasi yang rendah pada ketika ini.

“Kadar inflasi negara bagi Januari hingga Mei lalu mencatat peningkatan yang sederhana sebanyak 1.8 peratus berbanding 3.4 peratus bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Sementara kadar inflasi bagi bulan Mei lalu pula kekal rendah pada dua peratus. Sebagai perbandingan, inflasi bagi Zon Euro meningkat kepada 2.6 peratus, Amerika Syarikat (3.3 peratus), Republik Korea (2.7 peratus), Filipina (3.9 peratus) dan Indonesia (2.8 peratus) bagi tempoh sama.

“Dengan mengambil kira angka inflasi yang rendah pada ketika ini, kerajaan berpandangan ini adalah tempoh yang sesuai bagi pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Terengganu,
Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana jaminan kerajaan terhadap kenaikan harga barangan.

Selain itu, Ahmad Amzah juga ingin bertanya mengenai bebanan yang bakal ditanggung golongan B40 dan M40 akibat pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan ke manakah hasil penjimatan daripada rasionalisasi ini akan digunakan.

Jelas Menteri Kewangan, walaupun harga diesel kini ditetapkan pada RM3.35 seliter, kerajaan masih menyediakan diesel bersubsidi kepada nelayan dan 33 jenis kenderaan pengangkutan awam serta barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk memastikan kos barangan dan perkhidmatan kekal terkawal.

“Bagi melindungi kebajikan majoriti rakyat dan mengatasi isu penyeludupan serta ketirisan subsidi, kerajaan memperkenalkan platform Budi Madani bagi menyalurkan subsidi diesel yang lebih tepat kepada sektor yang layak, golongan masyarakat yang memerlukan, dan lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.

“Di bawah inisiatif Budi Madani, pemilik kenderaan jenis diesel merangkumi kenderaan pengangkutan awam darat, pengangkutan darat barangan, kenderaan persendirian milik individu dan golongan petani.

“Ia juga dinikmati penternak serta pekebun kecil komoditi di Semenanjung yang boleh terus menikmati subsidi diesel melalui kaedah fleet card di bawah MySubsidi Diesel atau bantuan tunai sebanyak RM200 di bawah Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi,” ujarnya lagi.

Mengulas dengan lebih lanjut, Anwar berkata, kerajaan berhasrat untuk mengembalikan penjimatan daripada langkah penyasaran semula subsidi bahan api ini kepada rakyat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bagi mengoptimumkan sumber kewangan negara.

Kata beliau, sektor yang bakal mendapat manfaat termasuk sektor pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan keperluan pembangunan lain selain memperkukuhkan agenda perlindungan sosial.

“Antaranya, kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion pada tahun 2024. Ini adalah langkah utama yang diambil kerajaan untuk mengelakkan program penyasaran subsidi diesel ini memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.

“Selain itu, kerajaan juga memulakan program ini pada masa yang sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara ketika keadaan ekonomi masih mampan, termasuk indikator inflasi bagi harga barangan dan perkhidmatan pengguna yang stabil,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button