Kerajaan akan gubal RUU bendung ‘scammer’
KUALA LUMPUR – Satu rang undang-undang (RUU) bagi membendung jenayah dalam talian akan dgubal dalam masa terdekat sebagai satu usaha membanteras kegiatan ‘scammer’ atau penipuan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan RUU itu selaras dengan sasaran negara menuju ke arah masa depan yang mengaplikasi pendigitalan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan perincian RUU tersebut yang dijadual dibentangkan selepas pembentangan Belanjawan 2025, Jumaat ini.
“Isu ini (penipuan membabitkan data pengguna membabitkan transaksi perbankan) sedang berlaku. Betullah love scam dan sebagainya (membabitkan) ratusan bilion yang kena itu pihak ketiga yang kita kenal atau sebaliknya.
“(Namun) ini pihak bank, mungkin Ahli Parlimen boleh berbincang, sama ada perlu sistem lebih ketat kepada bank atau industri yang memegang duit pengguna.
“Kedua, dengan adanya Kementerian Digital yang diwujudkan kerajaan, menunjukkan memang masa depan negara kita ke arah digital.
“Sebab itu kepekaan sangat perlu bagi kita sebagai Ahli Parlimen dan insya-Allah pada sesi ini kita akan wujudkan undang-undang jenayah dalam talian selepas Bajet (2025) supaya pelbagai perkara dapat kita bahas dan luluskan,” katanya.
Seterusnya, kata Azalina lagi, kerajaan sudah mengambil langkah proaktif dengan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi menangani kes jenayah siber, terutama kes penipuan kewangan membabitkan penggunaan akaun keldai yang semakin meningkat.
Katanya, pindaan Seksyen 424A, 424B dan 424C Akta 574 sudah memasukkan peruntukan baharu berkaitan kesalahan mana-mana individu membenarkan bank akaunnya digunakan orang lain tanpa kuasa atau maksud sah, bagi menangani isu akaun keldai.