Kandungan ‘soft porn’ dalam novel cetus kegusaran ibu bapa
PUTRAJAYA – Tidak dinafikan, dunia penerbitan buku tempatan kini semakin ‘longgar’ sehinggakan seorang remaja yang masih belajar di bangku sekolah boleh sewenang-wenangnya menerbitkan catatan diari, komik, puisi sehinggalah buku ‘sketch’ untuk dijual.
Masuk sahaja ke mana-mana kedai buku, anda akan dikejutkan dengan longgokan ‘buku-buku hipster’ yang berkisar tidak lebih daripada khayalan dan imaginasi penulis yang menggunakan nama-nama pena penuh bombastik dan artistik.
Bukan sahaja tidak membudayakan penulisan ilmiah dan bersandarkan fakta, sebahagiannya bersimpang siur dengan maklumat merapu yang disulam dengan tatabahasa caca-merba.
Lambakan buku-buku segera ini kini menjadi trend, terutama dalam kalangan pembaca muda yang tidak lagi memandang pada latar belakang si penulis tetapi cukup sekadar menatap hiasan pada kulit dan sinopsis buku yang nampak hebat.
Awal bulan lalu, penulis Ebook Pendidikan Seksualiti Kanak-kanak, Akhi Fairuz Al-Jengkawi mendedahkan keberanian penulis wanita bernama Anjell memperagakan pornografi lembut dalam bukunya bertajuk ‘Lelaki Astatine’.
Katanya, semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, buku tersebut terjual bagai goreng pisang panas dalam kalangan pelajar dan dicetak sehingga 80,000 naskah untuk jualan pada acara itu sahaja.
Perkongsian Akhir Fairuz itu mengundang kegusaran ibu bapa yang masih lagi prihatin terhadap ancaman seksualiti yang semakin bebas menular dalam penerbitan buku. Seolah-olah penerbit buku di negara ini tidak lagi bermaruah.
“Novel “Lelaki Astatine”, penulisnya Anjell. Sangat famous. Ramai budak sekolah beli. Dicetak 80k naskhah untuk jualan di PBAKL tempoh hari. Laku keras.
“Novel ini campur aduk ilmu kimia, ilmu bidang penerbitan, islamik dan babak soft porn. Ramai cakap scene² begini “biasa je”.
“Bagi kami, jika budak perempuan sekolah rendah suka baca scene macam ini, anggap ini biasa dan berfantasi, maka bukan biasa lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook yang dikongsi sebanyak 1,400 kali itu.
Akhi Fairuz mendedahkan, buku berkenaan juga pernah dijual di galeri Kota Buku, sebuah perbadanan milik kerajaan namun penjualannya telah digantung selepas kontroversinya tular.
Namun tegasnya, penerbitan yang seolah-olah tidak langsung bertapis itu bukan perkara baru kerana sebelum ini sudah ada beberapa penerbitan buku yang menormalisasikan seksualiti dalam novel.
“Beberapa tahun lepas kemain viral novel fantasi lucah Jaan Punching Bag. Saya antara yang lantang menentang. Akhirnya, penulis berkenaan akui kesilapan. Saya siap bertemu dengan beliau dan beliau meminta maaf.
“Cuma yang itu hanya bacaan di apps wattpad dan Facebook. Tapi kali ini novel soft porn dibukukan. Laku keras pula tu! Yang membeli dan membacanya bukan hanya orang dewasa, bahkan kanak-kanak sekolah rendah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sensitiviti rakyat Malaysia terhadap perkara seumpama itu sudah hilang kerana tidak ada lagi kemarahan dan bantahan.
“Boleh jadi normalisasi kelucahan ni dah berakar umbi dalam masyarakat hingga hilang rasa sensitiviti,” katanya.
Lebih menyedihkan kata Akhi Fairuz, pemerhatian beliau sendiri mendapati 99 peratus daripada pelajar perempuan dari darjah lima hingga sekolah menengah tahu mengenai buku ‘Lelaki Astatine’.
“Malah pelajar sekolah agama pun anggap ini biasa. Normalisasi yang lama-lama anggap yang kecil-kecil itu biasa.”