Berita Semasa

GPI: Malaysia duduki tangga ke-10 negara paling aman

PUTRAJAYA – Malaysia menduduki dalam kedudukan ke-10 terbaik sebagai negara paling aman di dunia pada tahun ini mengikut Indeks Keamanan Global (GPI).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menyasarkan untuk kekal berada dalam kedudukan ke-10 terbaik sebagai negara paling aman di dunia dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan sasaran ini dapat dicapai pada tahun depan.

“Kami unjur untuk kekalkan kedudukan 10 teratas dan pihak polis akan meneliti semua indikator yang memberi pemberat kepada bacaan indeks berkenaan. Ia bukan sahaja polis tetapi semua pemegang taruh di Malaysia,” katanya dalam satu sidang media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Larian Hari Polis ‘Community Safety Run’ Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika Program Larian Hari Polis ‘Community Safety Run’ Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Tambahnya, Saifuddin menegaskan kedudukan dalam GPI penting dan perlu diberi perhatian kerana isu keamanan menjadi antara faktor utama yang menarik minat pelabur untuk melabur di negara ini.

“Kenapa penting kita bagi perhatian (GPI) sebab pelabur melihat indeks seperti ini sebelum mereka melaburkan duit mereka yang berbilion.

“Mereka ingin tahu jaminan keamanan dan ketenteraman awam. Ia menjadi satu petunjuk penting untuk pelaburan dan beberapa pihak lain yang akan menyumbang kepada peningkatan prestasi dalam GPI,” jelasnya.

Dalam pada itu, Program Larian Hari Polis ‘Community Safety Run’ Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 disertai lebih 10,000 peserta yang terdiri daripada anggota polis dan masyarakat awam.

Saifuddin turut mengakui tugas polis sebagai agensi penguatkuasa keamanan dan ketenteraman awam merupakan faktor utama yang berjaya membawa negara ke tahap sekarang.

Menurut Global Peace Index yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia berjaya menduduki tangga ke-10 berbanding tangga ke-19 pada tahun lepas.

Show More

Related Articles

Back to top button