Ratusan jemaah haji meninggal dunia akibat bahang panas melampau
RIYADH – Sekurang-kurangnya 550 jemaah haji meninggal dunia tahun ini di Makkah akibat bahang suhu melampau.
Angka ini adalah berdasarkan laporan akhbar dan Kementerian Luar Arab Saudi, lapor Reuters.
Seorang pegawai kesihatan Arab Saudi berkata, sebelum banyak laporan kematian dikeluarkan oleh agensi berita setiap negara, pihak berkuasa tidak menyedari sebarang kematian luar biasa dalam kalangan jemaah haji di tengah-tengah suhu yang sangat tinggi.
Kementerian itu berkata, setakat ini ia sudah merawat lebih 2,700 jemaah haji yang menghidap pelbagai penyakit berkaitan kepanasan.
Kebanyakan kematian itu disebabkan oleh cuaca panas melampau, kata ahli keluarga di media sosial, ketika keluarga lain terus mencari saudara yang hilang di hospital Arab Saudi.
TV kerajaan Arab Saudi berkata, suhu meningkat pada hari Isnin setinggi 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram di Makkah.
Laporan AFP yang memetik kenyataan diplomat berkata, 323 daripada jemaah terbabit adalah warga Mesir, yang kebanyakannya menderita akibat penyakit berkaitan haba.
Sementara itu, seramai 144 jemaah Indonesia dilaporkan meninggal dunia diikuti 35 jemaah Tunisia, Iran (11 jemaah), Jordan (enam jemaah) dan Senegal (tiga jemaah).
Agensi berita Iran, IRINN semalam melaporkan, sejumlah 24 rakyat Iran dimasukkan ke hospital semasa menunaikan haji, tanpa menyatakan puncanya.
Kajian 2024 oleh Journal of Travel and Medicine mendapati bahawa peningkatan suhu global mungkin mengatasi strategi untuk menangani haba.
Kajian 2019 oleh Geophysical Research Letters mengatakan apabila suhu meningkat di Arab Saudi yang gersang akibat perubahan iklim, jemaah haji berkemungkinan menghadapi ‘bahaya kepanasan yang melampau’.
Lebih 1.8 juta jemaah menunaikan haji tahun ini, menurut Pihak Berkuasa Am Arab Saudi untuk Statistik.