Kerajaan giat tambah baik rangka kerja persaraan
KUALA LUMPUR – Kerajaan giat mencari pembaharuan dalam melaksanakan inisiatif baharu mengenai rangka kerja persaraan bagi memastikan setiap generasi di Malaysia dapat melihat ke hadapan untuk menjadi warga tua yang lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat perlindungan sosial.
“Penyelesaian baharu diperlukan untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada perlindungan sosial.
“Usaha perlindungan KWSP (Kumpulan wang Simpanan Pekerja) secara berperingkat perlu diperluaskan supaya lebih ramai mereka yang bekerja dapat menjadi sebahagian daripada ekosistem KWSP.
“Ini sekali gus akan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengumpul simpanan persaraan yang mencukupi untuk hari tua mereka,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mendedahkan, data KWSP mendapati, satu daripada empat individu yang boleh mengeluarkan duit simpanan mereka didapati menghabiskannya dalam tempoh 5 tahun.
Data sama turut mendapati, ramai rakyat Malaysia tidak dapat mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara serta keperluan untuk mengurus diri semasa lanjut usia.
“Kajian turut mendapati 26.1 peratus daripada responden berumur 60 tahun ke atas pula akan terus bekerja sehingga kesihatan tidak lagi mengizinkan.
“Ini kerana mereka (individu usia 60 tahun ke atas) menghadapi cabaran dalam memastikan jaminan pendapatan untuk keperluan persaraan mereka.
“Warga emas juga lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding penduduk yang lain, dengan hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seumpama itu semasa bersara,” katanya lagi.