Berita Semasa

Prestasi Anwar ‘agak baik’ di sebalik cabaran, kata Ku Li

KUALA LUMPUR – Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Anwar Ibrahim menunjukkan prestasi “agak baik” sebagai perdana menteri, walaupun berdepan cabaran besar dalam menguruskan ekonomi negara.

Bekas menteri kewangan dari 1976 hingga 1984 yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata, masalah utama Anwar terletak pada ekonomi yang terkesan akibat penyusutan nilai ringgit dan kenaikan inflasi.

“Kos sara hidup meningkat. Bahkan di kawasan luar bandar, anda perlu import barang.

“Anda kena beli barang di sini (Kuala Lumpur) dan bawa ke Gua Musang. Disebabkan ia libat banyak wang, rakyat merasainya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang lapan penggal itu berkata, antara cabaran besar dihadapi Anwar ketika mengambil alih kerajaan pada November 2022 ialah kemerosotan ringgit.

Pada Februari, nilai ringgit berbanding USD mencecah RM4.80, paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia pada 1997.

Selasa lalu, Anwar berucap di Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam berkata, kadar tukaran ringgit pulih ke “paras baik” pada RM4.69, mengukuh seiring ekonomi bertambah baik yang berkembang kepada 4.2% pada suku pertama tahun ini berbanding 2.9% pada suku keempat 2023.

Tengku Razaleigh juga mendapati pentadbiran Anwar dikritik atas reformasi perlahan yang dijanjikannya ketika mengetuai pembangkang sebelum PRU15.

Selain “satu atau dua” pencapaian, katanya, pentadbiran Anwar sebahagian besarnya gagal melaksanakan agenda “Reformasi” yang dijuarainya.

Bagaimanapun, beliau berkata, mungkin banyak pembaharuan dicadangkan itu memerlukan analisis mendalam.

“Anda perlu bercakap dengan rakyat. Anda perlu benar-benar memahami masalahnya.

“Dan jika ada mahu melakukan pembaharuan, anda kena pastikan pendekatan (baharu itu dapat menangani) masalah (sedia ada dengan berkesan).”

Tengku Razaleigh juga berkata, penangguhan dalam melaksanakan pembaharuan mungkin disebabkan tanggungjawab meluas sebagai perdana menteri.

Katanya, Anwar tidak boleh diharapkan menangani semuanya serentak, manakala kebanyakan ahli Jemaah Menteri masih baharu dalam kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button