MCMC, MIDA bakal tandatangani MoU bantu PMKS guna pakai 5G
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengguna pakai dan melaksanakan penggunaan rangkaian 5G dalam perniagaan mereka.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, MoU itu akan ditandatangani dalam masa terdekat iaitu sekitar satu atau dua minggu.
“Ini dalam proses. Memandangkan kita telah mencapai lebih 80 peratus COPA (liputan kawasan berpenduduk) dan sejak penerimaan pada masa ini adalah memuaskan tetapi ia boleh dirancakkan lagi,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata capaian rangkaian 5G bagi kawasan berpenduduk kini telah mencatatkan 81.5 peratus setakat 30 April lalu.
Selain itu, katanya, kadar penerima gunaan (adoption rate) rangkaian 5G pula mencatatkan sebanyak 12.78 juta bagi individu manakala 422,609 akaun bagi syarikat.
Katanya, penerima gunaan bagi rangkaian tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding hujung Mac lalu.
Pada masa ini, katanya, terdapat sejumlah 13.2 juta akaun 5G secara keseluruhan setakat hujung April lalu.
“Ini adalah pencapaian yang baik dan juga positif dan sudah pasti tunjuk bahawa dari segi dasar pihak kerajaan dan badan kawal selia MCMC berjalan dalam keadaan baik dan rakyat menerima dengan baik,” ujarnya.