Berita Semasa

Bakar al-Quran, Kerajaan Sweden perlu ambil tindakan tegas – Menteri Agama

PUTRAJAYA – Kerajaan Sweden digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin politiknya dalam menangani Islamofobia ekstrem yang semakin menular di negara berkenaan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata tindakan itu dibimbangi akan menimbulkan suasana tidak harmoni lebih besar dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia termasuk di negara itu.

Katanya, Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ekstrem itu dan ia satu perbuatan tidak boleh diterima walaupun atas dasar kebebasan bersuara.

Oleh sebab itu, beliau mengharapkan umat Islam di negara ini bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Malaysia turut kesal kerana sehingga kini Kerajaan Sweden masih tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan perbuatan kumpulan Islamofobia itu,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama di sini, semalam.

Tambah Mohd Na’im, Malaysia menggesa Kerajaan Sweden mengambil tindakan serius segera terhadap Paludan untuk memerangi sentimen Islamofobia.

Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia mencetak satu juta Al-Quran untuk diagihkan di seluruh dunia dan memastikan kitab itu bukan saja dibaca tetapi dihayati.

Terdahulu, pada 21 Januari lalu, Rasmus Paludan yang juga pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia juga yang mengumumkan hasrat meneruskan tindakan membakar al-Quran pada setiap Jumaat.

Selain itu, dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pada Jumaat lalu, beliau melakukan tindakan sama di sebuah masjid dan di luar Kedutaan Turkiye di Copenhagen, Denmark.

Show More

Related Articles

Back to top button