55 pemilik kenderaan dikompaun dalam Operasi Bersepadu DBKL, PDRM, JAS
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengkompaun 55 pemilik kenderaan dan menunda 14 kenderaan atas pelbagai kesalahan lalulintas dalam Operasi Bersepadu Halang Siri 1/2024 di sini, kemarin.
Ketua Pengarah Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, kerjasama operasi bersepadu itu adalah untuk memastikan kepatuhan kepada undang-undang lalulintas dan keselamatan awam.
“Kerjasama dan tindakan bersepadu ini akan diteruskan di lokasi tumpuan (hotspot) yang lain.
“Pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan isyarat lalulintas yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook DBKL hari ini.
Beliau menekankan bahawa operasi itu akan diteruskan di lokasi-lokasi tumpuan lain dalam masa terdekat.
Katanya, pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalulintas yang telah ditetapkan untuk memastikan keselamatan bersama.
Operasi bersepadu yang bermula pada pukul 9 malam di Jalan Bukit Bintang, Jalan Changkat dan Jalan P. Ramlee itu melibatkan pemeriksaan terhadap 112 kenderaan termasuk lori, kereta dan motorsikal.
Beliau berkata, notis kompaun dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalulintas seperti meletak kenderaan di laluan awam dan laluan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Sehubungan itu katanya, kenderaan yang ditunda akan disimpan sementara di depoh DBKL untuk proses tuntutan dokumentasi.
Sementara itu, PDRM turut mengeluarkan 5 notis kompaun kepada pemandu yang gagal mengemukakan dokumen cukai jalan atau lesen memandu yang sah.