Berita SemasaPM X

PM tegaskan usaha tegakan Islam perlu dizahirkan dengan tindakan, mesej jelas

KAHERAH – Islam tidak akan tertegak semata-mata dengan laungan dan retorik, tapi mesti dengan penghayatan yang benar dan dizahirkan melalui tindakan serta mesej yang jelas.

Pendirian itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau diberi penghormatan untuk memberi syarahan umum di Dewan Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Dalam syarahannya, Perdana Menteri berkongsi, keputusan Kerajaan Malaysia melarang dan tidak memberi izin kepada kapal dagang Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia.

“Kini Malaysia juga sedang mengemukakan cadangan agar Israel disingkirkan dari menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.

Semalam, Perdana Menteri, selamat tiba di Kaherah, Mesir bagi memulakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Pada masa yang sama, Anwar turut menjelaskan beberapa usaha kerajaan sejak dua tahun terakhir ini seperti memperkenalkan dan mewajibkan pelajar Islam dari semua aliran sekolah di Malaysia memahami kitab Hadis 40 (Matan Arbain).

“Selain itu, mengembalikan bantuan pendidikan kepada sekolah agama rakyat dan meningkatkan usaha memberi peluang anak-anak dari pengajian tahfiz menyambung pendidikan TVET.

“Juga dikongsikan adalah persetujuan untuk menyahut pelawaan Syeikhul Azhar dalam menjayakan Majlis Hukama’ al Muslimin pimpinan beliau dengan menamakan wakil Malaysia, termasuk seorang wanita,” katanya.

Sementara itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada Syeikhul Azhar atas jemputan menyampaikan syarahan umum di institusi yang mulia itu.

“Adalah satu penghormatan mendapat peluang berada di sini yang merupakan gedung ilmu yang punya sejarah lebih seribu tahun di hadapan para ilmuwan dan anak-anak yang belajar di sini hari ini.

“Al-Azhar antara institusi yang telah memberi sumbangan pendidikan dan pencerahan serta berpengaruh dalam dunia Islam muktahir ini,”

“InsyaAllah, dengan segala kudrat dan doa anak-anak serta para ulama yang mendukung kita, Malaysia akan melakukan apa yang terbaik untuk negara dan umat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button