Tragedi helikopter TLDM: Sultan Pahang titah semua masjid laksanakan solat jenazah ghaib
KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid di negeri ini melaksanakan solat jenazah ghaib susulan tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung lalu terhempas di Lumut, Perak pagi semalam.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Datuk Yahya dalam satu kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi itu yang mengorbankan 10 anggota TLDM.
Turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Nahas itu telah mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter AW139 dan AS555 Fennec.
“Tragedi tersebut berlaku semasa formasi penerbangan raptai lintas hormat di Pangkalan TLDM Lumut. Salam takziah buat waris dan ahli keluarga mereka yang terkorban,” kata kenyataan itu.