Isu tular: Beras dibuang sudah tidak selamat dimakan
PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan beras yang ditemukan dibuang di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh telah rosak dan tidak selamat untuk dimakan.
Kata KPKM dalam satu kenyataan, penemuan itu hasil siasatan awal ke lokasi oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh bersama pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ke lapangan.
“Untuk makluman, KPKM memandang serius akan isu tular yang berlaku dan telah mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan.
“Berdasarkan penemuan awal, pihak KPB Cawangan Temerloh mendapati bahawa beras-beras tersebut telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan,” kata KPKM dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Kata KPKM lagi sebarang proses pelupusan beras hendaklah dirujuk kepada KPB.
“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara ini masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 (Akta 522),” kata KPKM lagi.
KPKM turut menyeru orang ramai yang ingin mengemukakan maklumat lanjut atau aduan berhubung isu ini, supaya berhubung dengan pihak KPB di portal aduan https://skpb.kpkm.gov.my/adu; menerusi emel rasmi aduankpb@kpkm.gov.my atau menghubungi Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya: 03-88701751/1748/1183