Berita Semasa

Harga runcit semua jenis minyak kekal

KUALA LUMPUR – Harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 serta diesel masing-masing kekal pada RM3.47, RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh 11 hingga 17 April ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga itu ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

MOF berkata kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terpelihara.

Kerajaan sebelum ini menafikan khabar angin harga petrol RON95 dan diesel akan naik sebelum Aidilfitri ini selepas pelaksanaan subsidi bersasar.

Show More

Related Articles

Back to top button