Berita Semasa

Nahas helikopter: Baju raya ibu jadi kenangan terakhir

IPOH – Siapa sangka keterujaan Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar menyambut lebaran tahun ini adalah petanda akhir beliau akan meninggalkan keluarganya selepas terlibat dalam nahas helikopter semalam.

Bercerita mengenai kenangan bersama arwah, anak sulungnya Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor berkata, dia tidak menyangka Aidilfitri tahun ini adalah yang terakhir bersama ibunya.

Kata Nur Qistina,16, baju raya ibunya akan menjadi kenangan terakhir buat mereka sekeluarga.

“Masa hari raya lalu, dialah yang paling teruja untuk tangkap gambar. Sampai ayah pun pelik.

“Lepas itu, mama cakap tak mengapalah mungkin ini akan jadi kenangan terakhir boleh simpan buat kenangan,” katanya memetik laporan Bernama.

Sementara itu, Nur Qistina turut mendedahkan jenazah ibunya masih sempurna dengan kecederaan di muka selepas proses pengecaman semalam.

Jelasnya, hanya rahang di wajah ibunya patah selain itu tiada kecederaan serius lain pada jenazah.

“Rahang mama patah tapi Alhamdulilah jenazah sempurna,” katanya ketika ditemui di Pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini malam tadi.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, jenazah ibunya akan dikebumikan di Yan, Kedah.

Noor Rahiza, 39, adalah seorang daripada 10 mangsa korban nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, pagi semalam.

Allahyarham meninggalkan suami dan empat anak berusia antara enam hingga 16 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button