Konsert Awie solo pada 3 Ogos ini
PUTRAJAYA – Legenda rock tanah air, Awie akan mengadakan konsert istimewa buat peminatnya bagi menyambut ulang tahun ke-30 sebagai penyanyi solo.
Menurut Awie atau nama sebenarnya, Datuk Ahmad Azhar Othman, konsert itu yang akan diadakan pada 3 Ogos ini di Dewan Medeka, Pusat Dagangan Antarabangsa (WTC) menceritakan kisah perjalanan hidupnya sebagai artis.
Awie berkata, pada awalnya beliau tidak bersetuju mengadakan konsert solo ini
kerana masih bersama kumpulan Wings, namun beliau mengubah keputusan itu selepas dipujuk rakan dan peminatnya.
“Saya masih mempunyai sahabat-sahabat yang perlu bekerjasama untuk hidup, saya merasakan seperti mementingkan diri sendiri sekiranya menyanyi solo.
“Akan tetapi setelah difikir dan dibincang dengan semua dan beberapa perkara yang saya ingin tonjolkan akhirnya saya telah mendapat persetujuan daripada sahabat-sahabat Wings,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, berkongsi kisah lanjut, Awie berkata, beliau menetapkan masa hanya 9 tahun lagi untuk bersama kumpulan Wings dan akan berehat dari kumpulan tersebut
Katanya, hasrat itu diambil bagi meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak yang masih kecil dan bayi yang akan lahir tidak lama lagi.
“Sekiranya Wings mahu teruskan, saya rela untuk Wings mencari penyanyi yang baharu, kerana sudah sampai masa untuk saya berehat.
“Sementara menunggu sambutan Wings yang ke-40 tahun hadapan, ini adalah peluang untuk saya memikirkan konsep untuk konsert solo kali yang terakhir ini.
“Perjalanan sebagai penyanyi solo sudah masuk 30 tahun dan macam-macam perkara telah berlaku akan diadaptasikan ke dalam konsert kali ini dan ia tidak akan menjadi konsert yang biasa,” katanya lagi.
Tiket dan maklumat konsert solo Awie boleh didapati di pixeltix.com.my mulai bulan Mei ini.
Sementara itu pada majlis berbuka puasa yang dianjurkan Produksi Rumah Merah itu bagi menghargai wartawan hiburan, Awie turut menyampaikan sumbangan kepada artis veteran Isma Aliff; balu kepada pemain drum kumpulan Search, Allahyarham Yazid, Ramlah Ahmad dan anak-anak yatim daripada sebuah pusat penjagaan di sini.