Berita Semasa

Stoking berkalimah : Agong murka, mahu pihak bersalah diberi hukuman keras

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang murka dan dukacita berhubung isu penjualan stoking berkalimah Allah mahu pihak yang didapati bersalah dikenakan hukuman keras.

Seri Paduka Baginda dalam satu kenyataan bertitah kepada semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu 3R (agama, bangsa, raja).

Baginda bertitah supaya tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu tersebut berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

“Kalimah ALLAH itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sultan Ibrahim turut bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah Seri Paduka Baginda.

Show More

Related Articles

Back to top button