Berita Semasa

KPKT sasar bina 100 buah Taman Rekreasi Madani tahun ini

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk membina 100 buah Taman Rekreasi Madani sepanjang tahun 2024 di seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata inisiatif tersebut diputuskan susulan dari Mesyuarat Jawatankuasa Induk Panel of Experts (POE) KPKT Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh beliau semalam.

Menurut beliau, sejak tahun 2023, Jawatankuasa Kecil POE telah dibentuk berdasarkan kepakaran ahli yang memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu Jawatankuasa Kecil Perumahan, Jawatankuasa Kecil Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Risiko Bencana serta Jawatankuasa Kecil Perbandaran Mampan.

“Penubuhan Jawatankuasa Kecil ini membolehkan mereka bergerak lebih aktif dan efisien serta lebih fokus kepada bidang kepakaran setiap ahli.

“Ia diharap dapat membantu memberikan nasihat, pandangan serta cadangan kepada KPKT bagi menangani pelbagai isu dan cabaran yang mendatang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, dalam sektor perbandaran mampan, KPKT turut menyasarkan untuk membina 100 buah kawasan hijau awam di seluruh negara pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Sasaran ini melibatkan kerjasama merentasi jabatan di mana Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif tersebut.

Menurut statistik KPKT tahun 2022, Malaysia mempunyai seluas 23,433 hektar kawasan lapang yang berpotensi menjadikan kawasan hijau awam.

“KPKT dalam proses mempercepatkan proses pewartaan kawasan lapang bagi memastikan kawasan lapang sedia ada tidak ditukar guna,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Mesyuarat Jawatankuasa Induk POE KPKT ini merupakan satu inisiatif bagi menggembleng pengetahuan, pengalaman dan kepakaran pelbagai pihak untuk bersama KPKT menentukan dasar dan program yang terbaik untuk rakyat.

Melalui mesyuarat yang telah berlangsung ini, pelbagai cadangan telah diusulkan meliputi pelbagai bidang fokus di bawah KPKT.

Ia menunjukkan komitmen POE dalam menyokong KPKT bergerak seiring dengan hasrat Kerajaan Madani ke arah pembangunan yang lebih mampan.

Show More

Related Articles

Back to top button