Warga asing berniaga guna nama sendiri atau rakyat tempatan diburu LHDN
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun ini akan memberi tumpuan khusus kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjana pendapatan melalui aktiviti atas talian.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata,langkah itu dibuat bagi memastikan pematuhan cukai berada pada tahap yang optimum sekali gus memastikan sasaran pungutan cukai sebanyak RM197 bilion pada tahun ini tercapai.
“Jika ada indikasi ketidak patuhan cukai kes akan disalurkan kepada team audit dan siasatan untuk tindakan lanjut. LHDN juga akan memberi tumpuan khusus kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjana pendapatan melalui aktiviti atas talian.
“LHDN akan mengenalpasti sama ada pelaporan cukai telah dibuat terhadap pendapatan yang diterima melalui medium ini. Pihak LHDN mempunyai maklumat dan data bagi kategori ini dan akan menghubungi mereka bagi memastikan pelaporan pendapatan telah dilaksanakan,” katanya ketika berucap dalam majlis Sesi Libat Urus Bersama Media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, antara tumpuan lain yang akan diambil ialah dengan memberi fokus kepada individu-individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai yang dibuat.
Beliau berkata, di bawah undang-undang, LHDN boleh membuka kembali sesuatu kes bagi tempoh lima
tahun kebelakang dan jika ada elemen kecuaian dan penipuan tiada had masa ditetapkan.
Pada masa sama, katanya, LHDN juga akan meneliti maklumat individu yang menyimpan wang di luar negara yang diterima secara berkala daripada tax authority seluruh dunia.
“Semakan dan risikan akan dilaksanakan bagi memastikan cukai telah dibayar terhadap simpanan yang berada di luar negara, sekiranya simpanan tersebut berpunca atau hasil daripada aktiviti di dalam negara,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, LHDN akan turut memberikan fokus dan tumpuan kepada kes-kes ekonomi bayangan (shadow economy) yang telah mewujudkan kesan yang besar terhadap jurang cukai di negara ini.
Jelasnya, aktiviti ekonomi bayangan sering dikaitkan dengan perniagaan tidak berdaftar dan tidak berlesen yang tidak membuat pengisytiharan cukai termasuklah pekerjaan sambilan yang menerima bayaran gaji atau upah secara tunai bagi mengelak pelaporan pendapatan dan bayaran cukai pendapatan.
“Tumpuan khusus LHDN berkaitan ekonomi bayangan ini ialah terhadap warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan atas nama sendiri atau rakyat tempatan. Adalah wajar warga asing yang turut sama menikmati segala kemudahan infra, keselamatan dan pembangunan negara menyumbang kepada hasil negara. Jika terdapat cukai yang gagal dilaporkan oleh kumpulan ini penalti yang setimpal akan dikenakan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, LHDN juga memandang serius ketirisan cukai disebabkan oleh aktiviti antara syarikat yang berkaitan.
“Transaksi rentas sempadan termasuk juga transaksi dengan entiti Labuan akan diberi tumpuan. Amnya, tidak menjadi kesalahan untuk syarikat membuat perancangan cukai, walau bagaimanapun jika sesuatu transaksi tidak mempunyai manfaat lain selain percukaian, semakan semula layanan cukai terhadap transaksi tersebut akan dilaksanakan pihak LHDN,” katanya.