Berita Semasa

NTF dibubar mulai 31 Dis

KUALA LUMPUR – National Task Force (NTF) yang ditubuhkan ketika pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020 dibubarkan secara rasminya pada 31 Disember ini.

Perkara itu diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada Majlis Penghargaan Perkhidmatan Perkhidmatan Op Benteng yang diadakan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Antara yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Jelas beliau, NTF yang ditubuhkan bagi melaksanakan Op Benteng, melibatkan gabungan 18 agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain telah berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam mencapai misi mengekang risiko penularan Covid–19 ke negara ini menerusi pencerobohan pendatang tanpa izin (PATI).

Malah katanya sepanjang tempoh Op Benteng berjalan, NTF berjaya melakukan rampasan pelbagai barangan dan aset bernilai RM1.10 bilion menerusi 7,490 tangkapan membabitkan PATI dan tekong bot warga asing.

Katanya lagi, menerusi perkongsian maklumat dan aset kesemua agensi terlibat telah membuahkan banyak kejayaan dalam mencapai misi tersebut.

Susulan itu, NTF telah turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan dalam konteks penguatkuasaan dan kawalan sempadan negara yang lebih efektif kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita akan perbaiki mekanisme kawalan sempadan menggunakan kaedah-kaedah NTF yang sedia ada.

“Selepas fasa endemik, penggunaan penguatkuasaan itu sudah tidak relevan jadi selepas ini kita akan kembali dengan kaedah asal tapi perlu ditambah baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas najlis tersebut.

Op Benteng dilaksanakan dengan mengatur gerak angkatan bersepadu untuk mengawal kawasan teras (daratan) dan menguasai kawasan lanjutan serta hadapan (maritim/udara).

Operasi kawalan sempadan tersebut dilaksanakan menggunakan kaedah pencegahan (deter), pengesanan (detect) dan penghindaran (deny), selain pengusiran pelencongan (detor), penahanan (detain) dan pengusiran (deport).

Show More

Related Articles

Back to top button