Ahli Parlimen sokong PM: BERSATU sedia hadapi PRK
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyatnya yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi.
Menurut Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pihaknya juga bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil.
“Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan BERSATU menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi membuat pengumuman dengan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.
Beliau merupakan Ahli Parlimen BERSATU yang keenam berbuat demikian.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi wakil rakyat PN kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Dalam pada itu, katanya, BERSATU juga telah melantik tiga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin; ADUN Taman Medan, Dr. Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
“Perubahan kepimpinan BERSATU di peringkat negeri juga turut dilaksanakan di mana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor baharu manakala Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan baharu.
“Parti mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Abdul Rashid Asari yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini,” katanya.
Sementara itu katanya, beberapa lantikan Pegerusi Biro baharu juga telah dilunaskan dengan Datuk Dr. Radzi Jidin dilantik mengetuai Biro Ekonomi; Datuk Sri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa); Datuk Azman Nasrudin (Biro Pendidikan) dan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Biro Latihan).
Selain itu katanya, Fadzillah Mohd Pilus dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu.