Politik

BN putuskan sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pendirian ini sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya.

“Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan Sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, BN Sabah dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan sekaligus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.

“BN menamakan Datuk Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mewakili UMNO dan Barisan Nasional Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button