Berita SemasaPM X

Malaysia ulangi pendirian dukung langkah Afrika Selatan heret Israel ke ICJ

KUALA LUMPUR – Malaysia mengulangi pendiriannya untuk mendukung langkah Afrika Selatan mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) atas kezaliman yang dilakukannya ke atas Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan berani Afrika Selatan itu semestinya perlu didukung oleh seluruh dunia dan warga yang waras.

“Malaysia mengulangi pendiriannya untuk mendukung langkah Afrika Selatan di ICJ bersama negara-negara sahabat yang lain menegak keadilan dan membenam kezaliman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, gelombang penentangan terhadap Israel pada ketika ini adalah yang terbesar sejak demonstrasi menentang Perang Vietnam dan pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan dahulu.

Malangnya, beliau berkata, gelombang penentangan ini belum menjentik nurani pemimpin di negara-negara barat untuk mengambil pendirian yang tegas berhubung isu Palestin.

“Negara-negara barat seolah ingin terus bermuka-muka dan mengambil pendirian selamat ketimbang mengheret Israel ke muka dan neraca pengadilan yang sewajarnya.

“Mantra ‘hak asasi manusia’ yang sering dihala ke negara-negara yang tidak sebulu dengan mereka kini tidak lagi kedengaran.

“Israel mesti dibicarakan dan kekejaman mereka mesti didobrak dengan pelbagai cara yang ada,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Anwar berkata, sejak 7 Oktober lalu, Israel telah membunuh seramai 24,100 rakyat yang tidak berdosa, dan Israel terus dipencilkan warga serta komuniti antarabangsa.

“Dunia telah menyaksikan 100 hari pembantaian tanpa henti rejim biadab Israel ke atas warga Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu.

“Ini adalah kesinambungan daripada lebih tujuh dekad kezaliman yang telah pun diterjemahkan secara jelas melalui pendirian serta kebijakan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kenyataan serta pandangan perkauman sisi kanan yang dihambur para pemimpin Zionis ke atas rakyat Palestin tambah menjelas sikap melampau Zionis Israel.

“Sebagai rakyat, meski dinafikan segala hak dan asas kehidupan serta sentiasa dipaksa untuk hidup dalam ketakutan, namun rakyat Palestin tetap terus keras mempertahan tanah air dan maruah bangsa,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button