Berita SemasaPM X

Malaysia, Iran gesa gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Iran sebulat suara bersetuju agar segala usul yang dibawa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pertemuan beliau dengan Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi pada Sidang Kemuncak Tergempar OIC memperlihatkan ketegasan kedua-dua buah negara dalam membincangkan serangan serta kekejaman berterusan Zionis Israel terhadap Palestin, semalam.

Jelas Anwar, Malaysia dan Iran juga menggesa agar lebih banyak bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Palestin dan menuntut OIC memainkan peranannya dengan lebih besar.

“Dalam pertemuan penuh bermakna ini, kami sebulat suara bersetuju supaya kekejaman Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera.

“Kami juga mendukung segala usul yang dibawa OIC, termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk mempertingkat hubungan dua hala, termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu.

“Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan besar dalam dunia Islam.

“Dalam pertemuan ini, kami turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama.

Pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran berjumlah RM3.68 bilion, meningkat sebanyak 40.2 peratus berbanding 2021 dan kelapa sawit adalah produk utama perdagangan Malaysia dan Iran.

Show More

Related Articles

Back to top button