Politik

Tun M dipelawa sertai parti Putra sebagai penasihat

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi gambaran untuk menerima pelawaan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) sebagai penasihat parti itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, selepas meneliti pelawaan daripada Presiden parti itu, Datuk Ibrahim Ali, beliau menyatakan tiada sebab untuk beliau tidak menerima parti itu.

“Terima kasih atas jemputan ini dan saya akan meneliti sama ada Putra ini sesuai atau tidak dengan saya. Setakat ini saya tidak nampak kenapa saya tidak boleh menerimanya.

“Saya akan fikir secara mendalam terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenainya,” katanya dalam satu pertemuan dengan kepimpinan parti itu di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Sebelum itu, Ibrahim berkata, jemputan untuk membawa masuk bekas Presiden parti Pejuang itu diputuskan kepimpinan Putra bersandarkan prinsip perjuangan untuk membela nasib Orang Melayu.

Related Articles

Ibrahim berkata, seperti juga dirinya, Dr. Mahathir adalah tokoh terbaik untuk berada di dalam Putra kerana pendiriannya yang tidak menyertai politik atas kepentingan diri.

“Pelawaan Tun sebagai ahli dan penasihat Parti Putra dan juga isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali diputuskan oleh Dewan Tertinggi Putra pada 18 Februari (hari ini).

“Tun awak ada masa 48 jam untuk buat keputusan,” selorohnya.

Ibrahim juga mempelawa semua ahli kepimpinan Pejuang untuk mengumumkan keluar parti itu baru-baru ini untuk menyertai Putra demi memperkukuhkan parti itu.

Media sebelum ini melaporkan Dr. Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang. Difahamkan, mereka menyuarakan kekecewaan terhadap Pejuang kerana memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

Turut meninggalkan Pejuang termasuk Timbalan Presidennya, Marzuki Yahya; bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan, Afiqah Mohamad, Nurhairi Rahmat, Fyzul Adzwan Mustafa Kamal, Mohamad Jani, Ahamed Basheer, Azman Mohd Hashim, Mohd Jefrie Hussin, Armin Baniaz Pahamin dan Wan Azliana Wan Adnan

Show More

Related Articles

Back to top button