Politik

Hishamuddin kongsi surat penggantungan keahlian UMNO

BANGI – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengesahkan beliau telah menerima surat rasmi penggantungan sebagai ahli UMNO selama enam tahun.

Menurut surat bertarikh 30 Januari 2022 yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan itu, penggantungan berkuat kuasa pada 27 Januari lalu atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Bagaimanapun tiada sebarang sebab penggantungan dinyatakan.

“Baru sahaja terima surat rasmi bertarikh semalam (Isnin) berhubung penggantungan keahlian UMNO saya.

“Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau turut memuat naik gambar surat yang dinyatakan.

Berdasarkan surat berkenaan, Hishammuddin didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

“Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023 telah memutuskan bahawa YB Dato’ Seri digantung hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan YB Dato’ Seri melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO,” menurut surat berkenaan.

Pada Jumaat lalu, MKT memutuskan memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada UMNO kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun seperti Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Show More

Related Articles

Back to top button