Barisan Menteri Kabinet bakal dirombak lagi?
PETALING JAYA – Kabinet Kerajaan Perpaduan dijangka mengalami rombakan dalam masa terdekat sebagai usaha menyusun semula barisan menteri termasuk pertukaran menteri yang kurang prestasi, lapor portal FMT hari ini.
“Seorang menteri mungkin akan dipindahkan ke kementerian lain atau digugurkan dari Jemaah Menteri kerana prestasi individu ini dipersoalkan dan dijangka akan digugurkan atau dipindahkan ke kementerian lain.
Laporan yang memetik sumber berpengaruh itu juga mendakwa seorang menteri besar akan dilantik sebagai menteri di peringkat Persekutuan.
“Kemungkinan beliau dipindahkan ke peringkat persekutuan kini lebih tinggi. Di peringkat negeri, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah mengetahui tentang hal ini,” katanya.
Selain itu, FMT juga memaklumkan sumber dari DAP mengesahkan terdapat perbincangan tentang rombakan Jemaah Menteri yang mungkin berlaku menjelang akhir Ogos dengan beberapa timbalan menteri dijangka dinaikkan pangkat ke jawatan menteri.
“Pada mulanya, perbincangan adalah untuk rombakan yang akan berlaku pada akhir bulan ini, jadi kita hanya perlu tunggu dan lihat; dalam politik, apa sahaja boleh berlaku, kata sumber itu.
Sementara itu, satu sumber korporat berkata, seorang menteri memberikan alasan rombakan yang akan berlaku sebagai sebab pembatalan kehadiran menteri itu di satu acara syarikat bulan ini.
“Kami menetapkan tarikh untuk menteri tersebut hadir untuk acara itu tetapi wakil menteri membatalkannya pada saat akhir, dengan alasan rombakan sebagai sebab, kata sumber itu.
Kali terakhir Jemaah Menteri dirombak pada Disember tahun lalu dan dibesarkan daripada 29 menteri kepada 31 menteri.
V Sivakumar dari DAP digugurkan sebagai Menteri Sumber Manusia, manakala dua individu kembali sebagai menteri iaitu Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dari Amanah sebagai Menteri Kesihatan dan Datuk Seri Johari Ghani dari UMNO sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, sementara beberapa menteri lain bertukar portfolio.