
Along Cham dilepas tanpa bebas tuduhan miliki dadah disyaki kanabis
Dijatuhkan tuduhan baharu miliki, masukkan dadah dalam badan di Mahkamah Majistret
SEPANG – Pelakon dan pelawak, Along Cham dilepas tanpa bebas (DNAA) daripada satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, kemudian didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah serta dibenarkan ikat jamin RM5,000.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memaklumkan, hasil laporan kimia tertuduh, pendakwaan memohon pertuduhan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dipinda dan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh atas Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Mendengar perkara itu, Hakim, Ahmad Fuad Othman memerintahkan Along dilepas tanpa dibebaskan.
“Pertuduhan kamu bawah seksyen ini (39A(2)) DNAA… kamu akan dituduh di mahkamah majistret kerana pertuduhan kamu diturunkan,” katanya.
Sejurus kemudian di Mahkamah Majistret, Along mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis kanabis dan memasukkan dadah ke badannya.
Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa dalam milikannya bahan berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(a)(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dibaca bersama 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |