Dua lelaki maut dalam serangan di Klang
KLANG – Dua lelaki warga tempatan dengan masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau maut dalam insiden pergaduhan di Taman Sentosa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis menerima panggilan berhubung orang cedera akibat pergaduhan pada pukul 10.50 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 10.20 malam di sebuah premis perniagaan di Jalan Hulubalang 28 di sini.
“Suspek dipercayai menetak kedua-dua mangsa dan salah seorang daripada mangsa meninggal dunia selepas melarikan diri di dalam sebuah premis kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
“Seorang lagi mangsa meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Mangsa yang meninggal dunia adalah warga tempatan berusia 36 dan 38 tahun dan masing-masing memiliki satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis juga masih menyiasat jika pergaduhan tersebut membabitkan kongsi gelap.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
“Usaha mengesan suspek-suspek terlibat masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






