
Hati-hati ikut trend musim perayaan, elak dosa selepas Ramadan
DALAM suasana Syawal yang penuh kegembiraan, umat Islam seharusnya mengekalkan nilai akhlak yang terbina sepanjang bulan Ramadan.
Namun, satu trend yang semakin berleluasa di media sosial adalah aksi berjoget ketika menerima duit raya, terutamanya dalam kalangan wanita Islam.
Fenomena itu bukan sekadar hiburan kosong, tetapi boleh menjadi pintu kepada perkara yang lebih buruk jika tidak dikawal dengan baik.

Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun turut mengingatkan golongan wanita agar berhati-hati dalam mengikut sesuatu trend pada musim perayaan ini.
“Tolong fikir sebelum ikut trend ambil duit raya kena joget, lepas itu rakam dan post.
“Ramai wanita Islam tua muda buat sama. Syawal ibarat mereka yang balik haji, lepas sebulan Ramadan sepatutnya kita lebih berakhlak. Jangan biasakan,” tulis beliau dalam satu perkongsian di media sosial.
Melalui satu hantaran di Facebook itu, Ustazah ‘Asma turut berkongsi beberapa hadis Nabi SAW berkaitan wanita yang mengajak orang lain melakukan maksiat.
“Ada dua kelompok manusia penghuni neraka yang belum pernah aku lihat sebelum ini, iaitu kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan kemaksiatan dan mengajarkan maksiat tersebut kepada orang lain. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium keharuman syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Selain itu, beliau juga menukilkan satu doa perlindungan daripada pelbagai kejahatan termasuk kejahatan anggota tubuh yang digunakan untuk perkara tidak baik.
Sabda Rasulullah SAW: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan pendengaranku, kejahatan pandanganku, kejahatan kata-kataku, kejahatan hatiku dan kejahatan kemaluanku.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Hakikatnya Islam sangat menitikberatkan maruah dan kesopanan, terutama dalam kalangan wanita Muslimah.
Perbuatan berjoget di media sosial bukan sahaja boleh mengundang fitnah, tetapi juga membuka ruang kepada kemaksiatan.
Apatah lagi Syawal adalah bulan kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan.
Ia sepatutnya dihayati dengan memperkukuhkan amalan kebaikan dan akhlak mulia, bukan dengan membudayakan perkara yang tidak bermanfaat.
Trend berjoget sambil menerima duit raya dan memuat naik rakaman ke media sosial bukan sekadar boleh menjatuhkan maruah diri, tetapi juga menjadi contoh yang tidak baik kepada generasi muda.
Semoga kita semua dijauhkan daripada fitnah akhir zaman yang membimbangkan dan terhindar daripada melakukan perkara yang boleh mengundang murka Allah SWT.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |