Berita Semasa

Isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman: Saravanan akui tanah milik Jakel, pertikai tindakan DBKL

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan, mengesahkan bahawa tanah yang menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India adalah milik Jakel Trading Sdn. Bhd., sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keabsahan operasi kuil tersebut sejak sekian lama.

Menurut Ahli Parlimen Tapah itu, pihaknya tidak menafikan kewujudan kuil berusia lebih 100 tahun itu, namun mempersoalkan bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh membenarkan ia terus beroperasi di atas tanah persendirian tanpa sebarang tindakan.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa kerana wujud banyak maklumat yang tidak tepat mengenai isu ini, tetapi kita perlu bertanya mengapa kuil itu boleh beroperasi begitu lama tanpa tindakan daripada pihak berkuasa.

“Lebih menghairankan, bagaimana kuil itu boleh menerima bekalan elektrik sedangkan tanah ini bukan miliknya?” katanya dalam sidang media hari ini.

Saravanan juga menolak dakwaan bahawa tanah kuil tersebut telah dijual ketika beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Tuduhan itu tidak berasas. Hakikatnya, MIC di bawah kepimpinan Datuk Seri S. Samy Vellu pada tahun 2006 telah berusaha untuk melindungi kuil itu daripada dirobohkan, tetapi kini kita perlu mencari penyelesaian berdasarkan hak milik tanah yang sah,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, rundingan sedang diadakan antara Jakel dan pengurusan kuil bagi menyelesaikan isu itu secara baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button