Subsidi diesel bukan punca kejatuhan PMI – MOF
KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan bahawa langkah rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan sejak Jun lalu menjadi penyebab utama kenaikan kos barangan dalam sektor pembuatan sehingga menyebabkan kejatuhan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada Julai 2024.
MOF dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen berkata, kejatuhan kecil daripada 49.9 mata pada Jun kepada 49.7 mata pada Julai 2024 itu lebih disebabkan oleh pelbagai risiko ekonomi yang lain.
“Bacaan tertinggi PMI sektor pembuatan bagi tahun 2024 direkodkan pada Mei iaitu 50.2 mata, manakala bacaan terendah adalah 48.4 mata pada Mac. Untuk perbandingan, pada tahun 2023, bacaan tertinggi ialah 48.8 mata pada Mac dan April, manakala bacaan terendah ialah 46.5 mata pada Januari,” menurut kenyataan itu.
Penjelasan tersebut diberikan bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung langkah kerajaan terhadap kejatuhan PMI yang berada di bawah paras neutral.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai ancaman siber terhadap pelaksanaan e-Invois, MOF memaklumkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa mengutamakan keselamatan data pengguna menerusi pelbagai langkah pengurusan dan kawalan keselamatan yang ketat.
“LHDN melaksanakan tadbir urus data berdasarkan piawaian industri serta mematuhi piawaian antarabangsa seperti Information Security Management System dan Business Continuity Management System.
“LHDN juga menjalankan penilaian keselamatan secara berkala melalui Security Posture Assessment (SPA) termasuk bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan sistem MyInvois berada pada tahap keselamatan tertinggi,” katanya lagi.
MOF menegaskan bahawa usaha ini penting bagi memastikan keselamatan data terpelihara dan ancaman siber dapat diminimumkan dalam melaksanakan sistem digital negara.
Langkah proaktif kerajaan itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan ekonomi negara kekal stabil dan keselamatan data awam terus terjamin.