Pengusaha kantin sekolah perlu patuh tender ditandatangani
Bincang dengan pihak sekolah, PIBG sekiranya mahu naikkan harga jualan
KUALA LUMPUR – Pengusaha kantin sekolah diingatkan supaya mematuhi perjanjian tender yang ditandatangani dengan pihak sekolah dan tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga jualan.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mereka dibenarkan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah serta wakil Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) bagi mendapatkan persetujuan sebelum menaikkan harga jualan makanan.
“Berdasarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat yang terkini terbitan tahun 2011, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengetua atau guru besar memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai barang-barang makanan dan minuman yang terdapat dalam sebut harga.
“Dalam Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah yang ditandatangani oleh pihak sekolah (mewakili kerajaan) dengan pengusaha kantin sekolah pula, pihak pengusaha kantin sekolah hendaklah memastikan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah adalah pada harga yang berpatutan sebagaimana yang dipersetujui oleh pihak sekolah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengenai perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meringankan beban lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah yang menjangkakan berlaku kenaikan harga tahun depan menurut Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM).
Fadhlina menegaskan, KPM sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib pengusaha kantin sekolah dan mengambil maklum mengenai kenaikan harga barang serta peningkatan kos bahan mentah yang memberi kesan kepada pengusaha kantin sekolah.
Menurutnya, bagi mengurangkan beban yang ditanggung pengusaha kantin akibat kenaikan harga barang dan peningkatan kos bahan mentah, kerajaan dan KPM khasnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu pengusaha kantin sekolah.
Kata beliau, antaranya ialah pemberian bantuan sebanyak RM1,500 kepada pengusaha kantin sekolah bawah KPM pada tahun 2020 dan pengecualian pembayaran sewaan kantin sekolah bawah KPM bagi bulan Mac 2020 hingga November 2020.
“Selain itu, kerajaan memberikan penyambungan kontrak sewaan kantin secara automatik untuk tempoh satu tahun bagi kontrak asal yang tamat pada tahun 2021 dan 2022 serta pengecualian sewaan kantin bagi tempoh 11 bulan bermula Januari 2022 hingga November 2022,” katanya lagi.