Maritim Malaysia perkasa pengawasan dengan teknologi AI
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengorak langkah baharu dengan meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh keselamatan perairan negara, sejajar dengan hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperkasa operasi agensinya.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, teknologi moden seperti AI bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada rondaan fizikal, tetapi turut meningkatkan kecekapan pengawasan di kawasan yang sukar dicapai.
“Teknologi itu membuka ruang kepada penggunaan dron dan bot autonomi untuk menjalankan rondaan automatik di kawasan yang luas, mengesan aktiviti mencurigakan serta menganalisis data masa nyata bagi tindakan pantas.
“Ia merupakan satu revolusi dalam operasi penguatkuasaan maritim,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Rosli berkata, Maritim Malaysia sedang merancang untuk mendapatkan radar baharu yang akan ditempatkan di lokasi strategik seperti perairan Sarawak dan pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Radar itu akan memperluaskan liputan pengawasan maritim selain meningkatkan keberkesanan operasi.
“Lebih menarik, radar itu akan disepadukan dengan teknologi AI di bawah sistem Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness (MCGMDA).
“Sistem itu mampu menganalisis data dengan lebih pantas dan responsif, sekali gus memperkukuh keselamatan perairan negara,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, penerapan teknologi AI merupakan satu keperluan strategik untuk menghadapi cabaran keselamatan maritim pada masa hadapan.
“Teknologi itu membolehkan kami mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan aset sedia ada sambil memastikan kawalan yang lebih efisien dalam menangani ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing dan jenayah maritim,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan komunikasi strategik kepada masyarakat. Melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) Maritim Malaysia.
“Matlamat kami adalah memastikan masyarakat sentiasa mendapat maklumat tepat tentang operasi Maritim Malaysia sekali gus meningkatkan kepercayaan terhadap usaha kami dalam menjaga keselamatan perairan negara,” katanya lagi.