Berita Semasa

Kapal tangki MT Ceres I yang dibawa lari ditemui semula, 2 bot tunda ditahan

KOTA TINGGI – Kapal MT Ceres I yang dilaporkan meninggalkan lokasi kejadian selepas insiden pelanggaran dengan kapal tangki MT Hafnia Nile semalam telah berjaya dikesan semula.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksama Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kapal tangki itu yang berdaftar dari Sao Tome and Principe telah ditemui di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman dengan dua buah bot tunda sedang menunda kapal tersebut.

“Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Pekan milik Maritim Malaysia telah berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres I pada sekitar pukul 1.20 pagi tadi dan turut menahan kedua-dua buah bot tunda terbabit yang disyaki terlibat dalam membawa lari kapal tangki MT Ceres I,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pihak Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut insiden kejadian dengan penemuan semula kapal MT Ceres I ini.

Sementara itu, katanya, hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik Maritim Malaysia yang telah menjalankan tinjauan udara semalam menemui sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.

Kesan tumpahan minyak akibat insiden pelanggaran itu

Sehubungan itu katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button