Gambar pemandangan di Iceland tarik perhatian netizen
PUTRAJAYA – Tindakan seorang pengguna media sosial memuat naik sekeping gambar memaparkan pemandangan alam yang menakjubkan di Iceland mengundang kekaguman netizen.
Melalui gambar yang dimuat naik di laman Facebook itu semalam, pemilik akaun, Omar Baihaki menulis: “Ini adalah tempat di Iceland di mana padang hijau, sungai kuning, pantai hitam dan laut biru bertemu. Subhanallah.”
Sehingga artikel ini ditulis, status tersebut telah meraih 11,000 likes, 720 komen dan lebih 1,000 perkongsian.
“Dari atas baru kelihatan betul-betul laut yang biru. Waktu saya ke sana hanya dapat melihat black beach sahaja. Itu pun dah cantik. Di tepi pantai ada batu seperti dinding. Masya-Allah, indahnya ciptaan Tuhan,” komen Zaljiah Abu Chik.
“Masya-Allah, indahnya ciptaan Allah. Satu keajaiban luar biasa yang takkan mampu dicipta oleh manusia,” tulis Mohamed Yusope pula.
Melalui carian di internet, visual tersebut merupakan salah satu keunikan pemandangan di kawasan South Coast Iceland terutamanya di sekitar Vik i Myrdal, pantai Reynisfjara atau kawasan berhampiran sungai glasier seperti Skeioara.
Sungai-sungai glasier di Iceland sering membawa sedimen yang menjadikan airnya kelihatan berwarna kuning atau emas.
Kawasan tersebut merupakan antara destinasi popular bagi pelancong yang mengagumi landskap dramatik Iceland. Pantai hitam, padang hijau, sungai kuning dan laut biru seperti itu sering menjadi subjek fotografi dari udara.