Lima pegawai KKM ditahan SPRM ditukar ke hospital lain – Dr. Dzulkefly
KUALA LUMPUR – Lima pegawai kesihatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang terlibat dalam skandal kartel memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Pulau Pinang telah ditukarkan ke hospital lain.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut menyatakan, siasatan dan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai berkenaan masih berjalan.
“Pada masa ini, pegawai yang terbabit sudah kembali bertugas, namun dipindahkan ke hospital lain sementara menunggu hasil siasatan dan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web di Parlimen semalam bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahu penjelasan berhubung tindakan lanjut oleh KKM terhadap pegawai yang ditahan SPRM kerana terbabit skandal kartel memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO.
Guan Eng juga mahu mengetahui adakah jabatan ortopedik hospital berkenaan perlu dirombak susulan skandal itu.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menegaskan, KKM tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur penyalahgunaan kuasa dan salah laku rasuah.
“Susulan penahanan dibuat SPRM, kelima-lima pegawai terbabit diambil tindakan tahan kerja di Bawah peruntukan Peraturan 43.
“Ia termasuk di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tataterbit) 1993 berkuat kuasa 17 September lalu.
“Tempoh tahan kerja adalah selama 30 hari bagi memudah cara urusan siasatan dan tempoh tahan kerja itu sudah berakhir pada 16 Oktober lalu,” jelasnya lagi.
Tambah Dr. Dzulkefly, skop fungsi dan pengoperasian jabatan itu diteruskan seperti biasa bagi menyampaikan perkhidmatan kepakaran ortopedik kepada pesakit.