Berita Semasa

Yayasan Bina Ummat Bojonegoro Jawa Timur lawat SAIFI dan STIAS

REMBAU – Seramai 46 orang pelajar termasuk pentadbir Yayasan Bina Ummat Bojonegoro dari Jawa Timur, Indonesia mengadakan lawatan muhibbah ke Institut Imam Ahmad ibn Idris (SAIFI) dan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di sini baru-baru ini.

Kesemua mereka hadir sempena International Edu Trip Program Malaysia Siswa SDIT – SMPIT Insan Permata yang diketuai oleh Direktor Pendidikan Yayasan Bina Ummat Bojonegoro Jawa Timur, Siswandi S.P.D.

Para pelajar Yayasan Bina Ummat Bojonegoro Jawa Timur dibawa melihat persekitaran SAIFI dan STIAS yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan.

Mudir SAIFI, Muhammad Amir Naqiuddin Amir Zuhairi al-Hafiz berkata, antara agenda kunjungan itu adalah untuk mengetahui sistem pendidikan yang diterapkan di As Sofa.

“Selain itu, ia juga bertujuan melakukan perkongsian serta menimba pengalaman dengan para pelajar As Sofa yang mengikuti pembelajaran aliran tahfiz dan akademik di sini,” ujar beliau.

Sesi penerangan mengenai sistem pendidikan berteraskan Al-Quran dan sunnah di sekolah tersebut dilaksanakan oleh Muhammad Amir Naqiuddin di Maktabah As Sofa.

“Selaku tuan rumah, kami berharap semoga kunjungan ini dirahmati Allah SWT dan memperoleh banyak manfaat buat kedua-dua pihak. Insya-Allah,” katanya lagi.

Beberapa pimpinan pelajar SAIFI bergambar bersama wakil Yayasan Bina Ummat Bojonegoro Jawa Timur.

SAIFI dan STIAS merupakan dua institusi pendidikan peringkat menengah di Rembau, Negeri Sembilan. Ia berada di bawah kendalian Kumpulan Pendidikan Sofa yang diasaskan oleh ulama terkenal, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin.

Terdapat tiga aliran pengajian ditawarkan iaitu Al-Quran, Turath dan Akademik. Sekolah itu turut dilengkapi kemudahan belajar dan asrama yang selesa serta kondusif.

Ia menerapkan sistem pembelajaran secara bertalaqqi mengikut tradisi ulama yang berteraskan akidah dan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Muhammad Amir Naqiuddin menerima cenderahati daripada Siswandi.

Di samping itu, tahap pendidikannya mempunyai jaringan hala tuju yang jelas hingga pengajian di peringkat PhD.

Untuk maklumat lanjut layari media sosial Institut Imam Ahmad Idris dan Sekolah Tinggi Islam As Sofa atau hubungi talian hotline 011-1240 1202.

Show More

Related Articles

Back to top button