Kerajaan kekal pendirian tidak haramkan penjualan vape, amal pendekatan kawal selia
PUTRAJAYA – Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat persekutuan dan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap rokok elektronik itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kawal selia itu dijalankan menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.
Walau bagaimanapun, Dzulkefly berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi kerajaan negeri, berhak untuk menentukan pendirian masing-masing sama ada ingin mengharamkan penjualan vape atau tidak.
“Saya kira kerajaan negeri perlu membuat keputusan masing-masing. Kita tidak dapat mengharamkan vape ketika itu, maka kita mengambil sikap untuk mengawal selia.
“Sebagai langkah pertama, pastinya kita ingin mengharamkan tetapi jika tidak boleh diharamkan, kita perlu mengawal selia. Kerajaan Perpaduan tetap berpendirian kawal selia adalah pendekatan terbaik buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024, di Putrajaya, hari ini.
Dzulkefly diminta untuk mengulas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menyarankan agar penggunaan vape di negeri itu
diharamkan secara mutlak.
Titah Al-Sultan Abdullah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda akan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsan (AADK).
“Antara punca utama golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung didapati bermula dengan penggunaan vape,” titah baginda.
Johor sebelum ini dilaporkan telah melaksanakan undang-undang yang melarang mana-mana individu menjual vape secara terbuka di negeri tersebut.