Aerobic Dance dapat perkukuh budaya sukan dalam masyarakat
GOMBAK – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus komited memperkukuh budaya sukan dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Pertandingan Aerobic Dance Peringkat Kebangsaan, di sebuah pusat beli belah dekat sini, kelmarin.
Pertandingan yang bermula dengan peringkat negeri sejak Ogos lepas, dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia (MAFA), dan berjaya menarik penyertaan seramai 1,983 peserta dari seluruh negara.
Fokus khas diberikan kepada penglibatan golongan wanita, selaras dengan aspirasi kementerian untuk memperkasakan peranan wanita dalam sukan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penganjuran acara sebegini selari dengan tujuan menjadikan sukan sebagai elemen utama gaya hidup sihat dan perpaduan masyarakat.
“Melalui acara seperti ini, KBS bukan sahaja mempromosikan kecergasan tetapi juga mengukuhkan usaha untuk mencapai matlamat Visi Sukan Negara 2030 dan mendukung kerangka Malaysia MADANI,” kata Hannah dalam ucapannya ketika hadir pada majlis penutup acara berkenaan.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KBS, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
Pasukan Perak yang diwakili pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar muncul juara kategori dewasa (18 tahun ke atas), manakala pasukan Johor muncul juara kategori remaja (bawah 17 tahun).