Berita Semasa

Ramadan penuh istimewa di Port 1964

CYBERJAYA – Sempena Ramadan ini, Port 1964 akan membawakan Bazar Nostalgia 1964 khusus buat penggemar makanan bercitarasakan kampung dan luar negara sebagai pilihan untuk berbuka puasa.

Menurut Cef Aziz Juhari, istimewanya di Port 1964 kali ini adalah terdapat 150 menu yang setiap satunya memiliki keistimewaan sendiri.

“Bagi Ramadan kali ini, kita bawakan konsep bazar di mana pelanggan boleh memilih sendiri hidangan kesukaan mereka.

“Setiap menu ini mempunyai keistimewaan sendiri kerana kita menggunakan bahan mentah yang terbaik dan segar dan rempah ratus yang kami adun sendiri,” katanya.

Ruang makan Port 1964 yang luas dan selesa pelanggan yang memilih untuk ‘dine-in’.

Aziz berkata demikian ketika ditemui pada majlis previu hidangan Ramadan di Port 1964 yang terletak dalam pusat beli belah Tamarind Square, di sini baru-baru ini.

Selain kuih muih tradisi, antara menu Melayu pada Ramadan kali ini termasuk Ikan Bakar dan Nasi Lemak Umbai, Nasi Beriani dan Kuzi Kambing, Udang Galah Masak Lemak dan yang paling istimewa adalah hidangan Ayam dan Kambing Kukus Buluh.

Sementara itu, menurut Pengarah Operasi Makanan dan Minuman, Mustaqim Ahmad Kamal, kesemua menu yang tersedia di Port 1964 tersedia secara ala carte, dan boleh dibungkus untuk dibawa pulang atau dine-in.

“Kita juga ada menu barat bagi yang mahukan kelainan ketika berbuka, dan bezanya kali ini, kita adakan konsep ‘Western Sodok’.

“Selain daripada itu, kita juga ada menu kombinasi makanan popular Jepun, Korea, Cina Thailand dan juga India bagi menepati citarasa pelbagai pelangan yang datang.

Warga kerja Port 1964 sedia menanti kedatangan anda.

“Ini agak berlainan kerana kita mahukan pelanggan mendapatkan kepuasan tiap kali mereka menikmati hidangan di sini,” kata Mustaqim lagi sambil menambah, harga hidangan bermula serendah RM5.

Beliau seterusnya berkata, Bazar Nostalgia 1964 boleh mula dinikmati kira-kira seminggu sebelum bulan Ramadan bermula.

“Bagi bulan Ramadan pula, kita akan beroperasi dari pukul 4 petang hingga 12 malam. Jadi saya ingin menjemput pelanggan untuk mencuba hidangan kami dan rasai sendiri kelainan yang kami bawakan,” katanya lagi.

Port 1964 merupakan salah sebuah premis makanan berkonsepkan foodhall yang dioperasikan oleh pengusaha bumiputera Chak’z 1964.

Chak’z 1964 turut mengoperasikan rangkaian restoran perkhidmatan katering, pembuatan makanan, dan terbaharu turut mengoperasikan sebuah hotel, Chak’z1964 Beach Hotel di Maldives.

Show More

Related Articles

Back to top button