Berita Semasa

Ujian urin boleh digunakan kesan bahan terlarang dalam vape – Saifuddin Nasution

BANDAR BAHARU – Ujian urin dapat digunakan untuk mengesan bahan terlarang yang terkandung dalam rokok elektronik (vape), dan bukan sahaja bagi mengesan dadah yang diambil secara konvensional.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengesanan pada peringkat awal boleh dilakukan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khususnya selepas pelaksanaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 diluluskan Dewan Rakyat Ogos lalu.

Jelas beliau, dadah yang menjadi ancaman khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, tidak lagi terhad kepada jenis konvensional, tetapi termasuk dadah jenis sintetik yang mempunyai pelbagai bentuk dan nama serta dianggap sangat dinamik.

“Kita ada keupayaan, pegawai pemulihan ada kepakaran itu (mengesan bahan). Kalau dulu proses ujian dan verifikasi (bahan terlarang) semua hanya dilakukan doktor, tetapi dalam akta penagih dadah yang kita pinda, tugas itu boleh dibuat pegawai pemulihan ADDK.

“Bagaimanapun, kita tak ketepikan pegawai perubatan, di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) masih ada elemen peranan pegawai perubatan, tetapi ujian awal itu boleh dilakukan pegawai pemulihan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan secara bersama oleh beliau dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, di sini hari ini.

Beliau seterusnya memberitahu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga berhasrat mewujudkan makmal khusus bagi proses pengujian bahan terlarang.

“Melalui makmal itu nanti boleh kesan semua bahan terlarang tanpa syak, tanpa ragu, kompetensi itu tinggi,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button