Kampung Batu Dua Sepintas dipilih sebagai kampung angkat LHDN
SABAK BERNAM – Kampung Batu Dua Sepintas di sini telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni) Madani oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Menurut LHDN dalam satu kenyataan, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, di Sekolah Kebangsaan Doktor Abdul Latiff (SKDAL), di sini.
Katanya, SKDAL yang telah lama menjadi pusat pendidikan untuk anak-anak Kampung Batu Dua Sepintas akan terus memainkan peranan penting sebagai platform pembangunan ilmu
masyarakat setempat.
“Program Santuni Madani merupakan inisiatif yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan matlamat melibatkan pemimpin jabatan kerajaan dalam pemantauan secara langsung dan sesi libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi serta keperluan penduduk di kampung atau daerah masing masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, program itu dijayakan melalui kerjasama strategik antara pihaknya, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan pihak SKDAL, dengan tujuan memupuk semangat kebersamaan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Dr. Zakaria Othman; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat, Noraini Mustafa; Pengarah LHDN Selangor, Hamisah Ismail dan Guru Besar SKDAL, Salasiah Ahmad.
Dalam pada itu, Abu Tariq dalam ucapannya berkata, pihaknya sentiasa mendekati rakyat dan komuniti setempat menerusi program CSR yang dianjurkan dengan tema yang berbeza setiap tahun.
“Tahun ini, LHDN memfokuskan kepada sukan dan keceriaan yang mana sumbangan berkaitan dengan aktiviti kesukanan dan penambahbaikan infrastruktur akan dimanfaatkan bersama.
“LHDN turut mengambil ruang dan peluang ini untuk menyebarluas maklumat percukaian kepada warga kerja pendidik dan murid-murid di SKDAL sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran kepentingan cukai kepada segenap lapisan masyarakat, seterusnya dapat menzahirkan rasa kasih sayang, menyemarakkan rasa kebersamaan dan membangkitkan semangat kesepaduan,” katanya.
Dalam majlis tersebut, LHDN mengambil peluang menyerahkan sumbangan berjumlah RM16,000 kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKDAL bagi tujuan pembaikan serta keceriaan sekolah.
Sumbangan Tunas LHDN turut diserahkan kepada 42 orang murid asnaf SKDAL.