Pelantikan Peguam Negara ikut lunas undang-undang – Fahmi
PUTRAJAYA – Pelantikan Datuk Mohammad Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara baharu, berkuat kuasa pada 12 November lalu bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Terriruddin Mohd Salleh dibuat mengikut lunas undang-undang.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan Fasal 1 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya lagi pelantikan itu juga selepas mengambil kira pengalaman yang luas dalam bidang pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.
“Datuk Mohammad Dusuki, mempunyai lebih 31 tahun dalam bidang pendakwaan dan perundangan, dijangka membawa nafas baharu dalam pentadbiran undang-undang negara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, Kerajaan Madani juga menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasakan reformasi institusi perundangan negara.
“Salah satu langkah penting dalam reformasi ini adalah kajian mengenai pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Kajian tersebut melibatkan penyelidikan di Australia dan Kanada serta sesi perbincangan dengan pakar undang-undang dan pertubuhan masyarakat sivil (SCO) dalam dan luar negara,” jelas Fahmi.
Laporan interim mengenai hasil kajian ini dijangka akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada tahun 2025.
Reformasi ini diharap dapat memperkukuhkan sistem perundangan negara dan memastikan tadbir urus yang lebih telus dan adil, sejajar dengan prinsip Kerajaan Madani yang mendukung keadilan dan integriti.