Berita Semasa

KPKT menang Anugerah Kementerian Berprestasi Tinggi Negara

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkul Anugerah Kementerian Berprestasi Tinggi Negara bersandarkan lima faktor utama yang diberi perhatian seluruh warganya.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, lima faktor itu ialah perancangan yang rapi, pelaksanaan yang berkesan, pelan komunikasi yang efektif, kepimpinan berintergriti dan kerjasama satu pasukan.

KOR MING (tiga dari kiri) menunjukkan anugerah yang dimenangi kementeriannya.

“Kejayaan yang diraih ini adalah hasil kerja keras seluruh warga KPKT seramai 22,000 orang yang tekun bekerja, berbakti dan berjasa.

“Teruskan usaha murni ini, harumkan nama negara kita. Angkat darjat dan martabat rakyat serta negara,” kata beliau dalam satu sidang media sempena kejayaan KPKT memenangi Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2024 di sini hari ini.

Majlis APN 2024 itu berlangsung di Movenpick Convention Centre, KLIA, Sepang pada 12 November lalu.

Pada majlis itu KPKT mengungguli empat anugerah termasuk dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2024.

Tiga anugerah lain ialah tempat pertama Anugerah Pengurusan Industrialised Building System (IBS) Terbaik Peruntukan di atas RM1 bilion yang mengiktiraf aspek amalan dan pengurusan IBS dalam projek-projek binaan awam.

KPKT juga memenangi tempat pertama Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi (pengiktirafan kerana menunjukkan prestasi tinggi dalam penilaian outcome program/projek yang telah disiapkan berdasarkan peruntukan yang diluluskan).

Pengiktirafan keempat adalah Anugerah Khas Penilaian Outcome Pencapaian Konsisten (mengiktiraf daya usaha berterusan kementerian mengekalkan pencapaian penilaian outcome di tahap prestasi tinggi yang melebihi 90 peratus bagi tempoh tiga tahun berturut-turut).

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib.

Kejayaan itu juga merupakan satu pengiktirafan besar dan penghargaan di atas kesungguhan serta komitmen KPKT dalam memastikan projek-projek pembangunan yang dirancang dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada golongan sasaran.

Semua projek pembangunan itu dinilai dan berjaya memberikan outcome positif dalam mempertingkatkan kualiti hidup rakyat melalui pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Dalam pada itu, Kor Ming turut menyumbang satu bulan gajinya kepada tabung kebajikan KPKT sebagai tanda penghargaan buat seluruh kakitangan kementerian tersebut.

KOR MINg (tengah) menyerahkan cek sebulan gajinya kepada KSU KPKT sebagai tanda penghargaan buat warga kementerian itu.

Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Menteri KPKT, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Suhaimi Ali@Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik), Datuk Saidatu Akhma Hassan; Setiausaha Bahagian Pembangunan, Hisham Azlin Zainun serta barisan Pengurusan Tertinggi KPKT.

Kor Ming berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha berterusan KPKT dalam merancang dan melaksanakan projek-projek yang memberikan impak positif dalam memenuhi keperluan masyarakat.

“Diharapkan ia akan menjadi dorongan dan suntikan semangat kepada seluruh keluarga KPKT dalam meneruskan kecemerlangan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button