
Enam GLIC sumbang pelaburan RM120 bilion melalui GEAR-uP
KUALA LUMPUR – Enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bersetuju untuk membuat pelaburan bernilai RM120 bilion dalam fasa pertama Program GEAR-uP bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen pelaburan melalui program GEAR-uP yang menggabungkan syarikat-syarikat GLIC itu bertujuan menggerakkan reformasi struktural Malaysia dalam kerangka Ekonomi Madani.
Katanya, syarikat GLIC mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta pengaruh besar dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
“Jumlah ini tidak termasuk pelaburan-pelaburan mereka di dalam pasaran modal awam yang bernilai RM440 bilion,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Enam GLIC ini adalah Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Anwar berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk menyokong usahawan serta industri tempatan dalam industri-industri yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high-growth high-value; HGHV).
“Dana tersebut juga akan diperuntukkan untuk memodenkan industri-industri sedia ada seperti kelapa sawit dan kewangan Islam,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |